Sunday, August 2, 2009

Syaaban....bulan muhasabah diri



REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan",Bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini.
Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan.
Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda. Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.
Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.
Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Firman Allah bermaksud:"Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa." – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).
Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang.
Firman Allah bermaksud:"Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123).
Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya.
Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:"Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.
Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah.
Sabda Rasulullah:"Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.
INFO
adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.· Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.· Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.

Monday, July 27, 2009

Menangani stres mengikut Islam




Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'
Kaedah

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).

Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'

Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'
Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.

Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.
Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.

Saturday, June 27, 2009

Al- Fatihah Buat Bonda Yang Sayangi


"Ya Allah Ampuni dosa kedua ibubapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani sejak kecil lagi. Ya Allah..tempatkanlah ibu dan bapaku dikalangan para nabi, syuhada dan orang-orang solihin...jauhilah mereka daripada azab kubur dan azab api nerakamu Ya Allah...masukkanlah mereka dalam syurga FirdausMu ya Allah...amin ya rabbal alamin.."

Ibuku telah dijemput oleh Allah pada 07hb Jun 2009 yang, 11.30 Malam manakala bapaku telah bertemu dengan Allah pada Oktober 1995, 09.45 malam..




Persediaan kita dibulan Rejab



Bulan Rejab termasuk didalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam.Bulan Rajab ini menduduki senarai yang ke 7 dalam bulan-bulan Qamariyyah.

Firman Allah didalam surah At-taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesunguhnya bilangan bulan-bulan disisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus,maka janganlah kamu mengganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu(dengan melanggar larangannya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan didalam bulan tersebut. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT terhadap bulan Rejab disamping bulan-bulan haram yang lain.

Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku didalam bulan rejab, diantaranya ialah:

Pertama-Peristiwa israk dan mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama Islam, ia adalah peristiwa dimana Rasulullah s.a.w telah diperjalankan dari Mekah ke Baitil Muqaddis dan kemudiannya diangkat kelangit untuk bertemu Allah SWT, disinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua-Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habshah oleh beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w termasuk Saidina Uthman Bin Affan ra dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan aqidah disamping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga-Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan hijrah. Ia adalah peperangan yang menguji iman para sahabat kerana ia beraku pada musim panas.Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah s.a.w sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab. Walau bagaimana pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu,terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku didalam bulan yang mulia ini seperti kelahiran Imam ahlis sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam ditanah air iaitulah dalam bulan rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi.Demikian juga peristiwa bersejarah iaitu pembebasan semula Palestin dan kota Baitul Maqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera solib juga berlaku dalam buan Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.

Kaum muslimin Rahimakumullah,

Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat didalam bulan rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah, kerana menganggap umrah yang mereka lakukan didalam bulan ini ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan ibadah-ibadah sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk didalam kelompok bulan-bulan haram dimana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal soleh hanya dia sahaja yang maha mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah didalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakkan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadah tanpa mengira didalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti mana juga didalam bulan-bulan yang lain, diantaranya,

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab.

Amalan berpuasa sunat adalah merupakan satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad s.a.w sebagaimana disebutkan didalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud,

“Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya”.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab “Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa rejab sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa”.

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam yang bermaksud “Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang dibawah (penerima)”.

3. Memperbanyakkan zikirullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra''d ayat ke 28 yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia”.

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Ini sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan masalah sosial yang lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah.

Saudara-saudariku seaqidah sekalian,

Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin tentang keutamaan beriltizam dengan surah-surah yang tertentu, juga wirid-wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih.Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayatul Kursiy, 2 ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan 3 Qul ( al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas ) .

wirid-wirid yang tertentu juga amat mustahak diamalkan kerana ia adalah supplement ruhani yang sering diabaikan menyebabkan berlakunya kecenderungan melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram.

Di samping itu ramai umat Islam yang melupakan sabda Rasulullah s.a.w tentang keutamaan berpuasa untuk mengelakkan diri dari perkara- perkara maksiat. Inilah merupakan sebahagian dari program pengabdian diri bagi melahirkan rasa ubudiyyah buat menongkah perangai mazmumah sebagai persiapan menyemarakkanisemangat Ramadhan.

Marilah kita bersama memulakan tazkiyyah ini dengan melakukan senarai semak atau bermuhasabah agar amalan-amalan sunat ini didalam membentuk jiwa dan peribadi yang sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri mereka menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT.

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan didalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam suratan amalannya)dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalannya)”.