Saturday, May 30, 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al- Fatih bebaskan kota Istanbul


Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuatb. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan. Kehendak yang kuatd. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuate. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaanf. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meterb. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meterc. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebald. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya. Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan. Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal. Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad. Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar. Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau. Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.
Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan. Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu. Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.
Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu. Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun. Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.
Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif. Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.
Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.
Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!
Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.
Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu. Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih. - mr_

Saturday, May 16, 2009

Adab-adab membaca al- Qur'an


Adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi


1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.


2.Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.


3.Membaca dalam keadaan berwudhuk.


4.Mengadap ke arah kiblat.


5.Memulakan dengan at-Ta'awwuz.


6.Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat.Walaupun begitu bagi yang ingin mengahfaznya diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.


7.Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain.Al-Imam al-Ghazali mengatakan jika kita bimbang akan timbuyl riyak iaitu ingin menunjuk-nunjuk,maka membaca secara perlahan itu lebih utama.Sebaliknya jika dapat menjaga dari timbulnya penyakit tersebut, maka digalakkaan membaca dengan suara yang nyaring.- Ihya` Ulumiddin.


8.Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.


9.Membaca dengan mentadabbur dan menangis.Tahukah Anda!!!Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh tentang sifat Allah menurut tafsiran orang-orang kafir.Sebagai contoh orang-orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30.Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah tidak berkuasa mengurniakan rezki kepada hamba-hambaNya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.


10.Memuliakan al-Quran.Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan tentang sesuatu yang amat penting.


11.Membaca ayat-ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dahulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.


12.Beramal dengan ajaran al-Quran itu.


13.Sentiasa membaca al-Quran terutamanya pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu.Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai".no 2085, hadith sahih mengikut syarat Muslim


14.Berusaha menghafaz ayat-ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat-ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.


15.Meletakkan target untuk mengkhatamkan al-Quran itu.


16.Memanjatkan doa sebaik tamat dari membaca al-Quran kerana waktu itu merupakan antara waktu mustajab doa.


17.Dilarang membaca al-Quran di tempat-tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas dan sebagainya.Menurut Qadhi Beirut al-Syeikh Ab Latif dalam kitab al-Tabyiin Fi Ahkam Tilawat al-Kitab al-Mubin terdapat adab-adab selain dari yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi iaitu :


18. Mengucup al-Quran kerana dkiaskan dengan mengucup al-Hajar al-Aswad kerana ia juga merupakan hadiyah Allah kepada.


19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada al-Hajar al-Aswad.


20.Meletakkan al-Quran pada tempat yang tinggi.


21.Berusaha untuk menghayati isi al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis.


22.Tidak memberi salam pada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Sunday, May 10, 2009

Waktu-waktu mustajab doa


Catatan abuiyas Oleh Ismail bin Marsyud bin Ibrahim Ar-Rumaih

Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajaba tersebut antara lain ialah

(1). Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda."Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ;

" barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya" . (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)

(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda."Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),

(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab."Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu".(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).

(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa'ad Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda."Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk". (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa' 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta'liq Alal Misykat 1/212 No. 672).

(5). Sesaat ketika Hari Jum'at

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda."Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum'at ada satu saat yang tidaklah bertepatanseorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.

(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari

Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada AllahDari 'Amr bin 'Anbasah Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda."Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya" . (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)Yang dimaksudkan dengan "ta'ara minal lail" terbangun dari tidur pada malam hari.

(7). Doa Di antara Adzan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda."Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah". (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)


(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam ShalatDari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda."Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan". (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur'an fi Ruku' wa Sujud 2/48)Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

(9). Ketika Saat Sedang HujanaDari Sahl bin a'ad Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda."Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan". (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami' No. 3078).Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

(10). Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah 'alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau 'alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda."Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akanmengikutinya' . Semua keluarga histeria. Baginda 'alaihi wasallam bersabda : 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan". (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)

(11). Ketika Lailatul Qadar

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman."Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar". (Al-Qadr : 3-5)Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)

(12). Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib Radhiyallahu 'anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda."Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah". (Sunan At-Tirmidzi, babJamiud Da'waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta'liq alal Misykat 2/797

Friday, May 8, 2009

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar


Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya. Lantaran itulah jemaah Islam ditubuhkan supaya dapat membimbing hati manusia.


Islam adalah agama samawi yang datangnya dari Allah swt. Islam mementingkan aspek kemasyarakatan dari sudut kekeluargaan, rumahtangga, masyarakat, pergaulan, dan kenegaraan. Islam adalah agama yang bukan hanya mementingkan individualistik (individu tetapi ia mementingkan ummah. Lantaran hidup manusia yang dikenali sebagai golongan yang mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Oleh kerana itulah disyaratkan bahawa hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah wajib yang tidak boleh dinafikan lagi. Berikut adalah dalil-dalil kewajipan menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalil kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar


Abul -Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar bin Abdul-Aziz berkata: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya orang-orang yang tertentu tetapi apabila perbuatan dosa itu merahajalela dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman.”


Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nun.


“Aku akan membinasakan kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan enam puluh ribu orang yang derhaka.”


Nabi Yusya bertanya: “Ya Tuhan, itu orang derhaka sudah layak, maka mengapakah orang yang baik-baik itu?”


Jawab Allah s.w.t.: “Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku murka, bahkan mereka makan minum bersama mereka yang derhaka itu.”


Abu Hurairah r.a. berkata:


“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”

Anas r.a. berkata:


“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya.”


BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR


1. Keimanan yang mendalam.


Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.


2. Ilmu yang hak


Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.


3. Matlamat untuk keredhaan Allah


Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.

MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI MELALUI DAKWAH:


Ada beberapa matlamat umum yang digariskan adalah:-1. membawa kepada Islam bagi orang yang belum menganut Islam.2. mempertingkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam.3. mendirikan sebuah negara yang diredhai Allah.4. menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan.5. mendapat Keredhaan Allah.

KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR


Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-


“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)


1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)


Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di bawahnya.


Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.


2. Dengan lidah / ucapan / lisan


Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;


a.) Nasihat / peringatan – sewaktu Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah, majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)


b.) Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya


c.) Penulisan – ia juga adalah suatu aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar, risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.


3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)


Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri. Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.

STRATEGI MENJALANKAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR.


Strategi adalah sama dengan berdakwah. Ia memerlukan kebijaksaan, ketegasan, iltizam dan semangat serta tidak putus asa dalam menjalankan kerja yang mulia ini. Adakalanya daie perlu bertegas dan melakukan sesuatu yang dianggap keras bagi sesautu perkara atau terhadap segelintir orang. Adalah kerana untuk menyedarkan manusia yang sombong yang tidak mahu mendengar teguran dan nasihat yang baik. Manakala untuk golongan yang mudah dinasihati adalah dengan cara berhikmah dan nasihat yang baik.


Namun tidak diketahui strategi yang paling berkesan selain daripada melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara berjemaah. Ia adalah strategi yang paling baik kerana dengan berjemaah akan mempunyai kekuatan dan sokongan yang ramai.

Sunday, May 3, 2009

Perkara-perkara yang disukai oleh Isteri



1. Isteri adalah manusia yang sensitif dan lemah lembut sifatnya. Oleh itu, suami perlu melayaninya dengan lemah lembut, penuh kasih sayang dan berhati-hati supaya tidak melukakan perasaannya.

Sabda rasulullah S.A.W;“Wahai suami, lembutlah terhadap isterimu.”

2. Isteri suka dirayu, dipuji kecantikannya, layanannya serta pilihannya.

3. Isteri sudah menghabiskan masanya berhias bagi menghiburkan hati suaminya. Oleh itu, suami perlu menghargai usaha isterinya itu.

4. Isteri menyukai suami yang dermawan dan murah hati. Oleh itu suami perlu berusaha menjadi pemurah mengikut kemampuan masing-masing.

5. Isteri sangat menyukai suami yang mulia, memiliki keyakinan diri yang tinggi serta mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat.

6. Isteri sangat menyukai suami yang suka memujinya, khususnya pujian yang diberikan di depan orang lain seperti ahli keluarganya.

7. Isteri sangat senang hati apabila suaminya sering mengingatinya walaupun mereka berjauhan dengan cara menelefon dan mengirim SMS kepadanya.

8. Isteri sangat menyukai suami yang memberikan perhatian istimewa kepadanya ketika dia sedang bersedih ataupun sedang sakit.

9. Isteri menyukai suami yang gemar menggodanya seperti anak-anak dan mencumbuinya mesra.

10. Isteri menyukai suami yang perkasa ketika melakukan hubungan, serta melakukannya dengan kelembutan dan kasih sayang.11. Isteri sangat senag apabila suaminya membuatnya merasa dirinya penting dalam hidup suaminya.

12. Isteri menyukai suami yang memperlihatkan rasa cemburunya yang wajar serta menunjukkan kekhuatiran sekiranya dirinya ditimpa bahaya.

13. Isteri sangat senag sekiranya suami mempercayainya, mempercayai akhlak dan amanahnya.

14. Isteri tidak suka apabila suaminya memuji kecantikan layanan ataupun pilihan wanita lain.

15. Isteri tidak suka suaminya menyebutkan kelemahannya sekalipun dengan niat bergurau terutamanya di depan orang lain.

16. Isteri tidak suka sekiranya suami mengancamnya dengan penceraian.

17. Isteri tidak senag hati apabila suaminya membicarakan mengenai poligami walaupun secara berguarau.

18. Elakkan daripada memandang wanita lain di depan isteri walaupun secara tidak sengaja. Ini kan melukakan harga diri dan perasaannya serta menumbuhkan rasa cemburu dalam diri isteri.

19. Rumah adalah segala-galanya bagi isteri. Oleh itu, sebagai suami pastikan keperluajn isteri disediakan secukupnya memgikut kemampuuannya.

20. Suami perlu usahakan supaya pekerjaannya tidak mengalihkan perhatiannya daripada isteri dan keluarga.

21. Tinggalkan urusan pekerjaan suami di luar rumah dan berikan sepenuh perhatian kepada isteri dan anak-anak apabila berada di samping mereka.

22. Elakkan meninggalkan isteri sendirian di rumah dalam suatu tempoh yang lama tanpa keperluan yang mendesak, terutama ketika pasangan belum dikurniakan cahaya mata.
Sekiranya pasangan sudah mempunyai cahaya mata, sekurang-kurangnya isteri akan menyibukkan dirinya dengan memberikan tumpuan kepada anak-anak di saat-saat mereka berjauhan.

23. Isteri sangat senang dengan perakuan suami yang mengucapkan selamat tinggal dan bersalamam setiap kali meninggalkan rumah. Apalagi sekiranya ia ditambah dengan kucupan.