Thursday, April 30, 2009

JADILAH ISTERI YANG DISENANGI SUAMI

Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi? Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka.

Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh.


Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya.


Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.


Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya.


Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam

Wednesday, April 22, 2009

Mendidik Anak-Anak mengikut Acuan Islam


Mendidik adalah satu tugas yang besar. Ia adalah permulaan pembinaan setiap insan, samada ia terus kekal sebagai manusia yang diciptakan dengan segala kelebihan, atau ia akan beralih dan bertukar menjadi seburuk - buruk kejadian di alam ini dengan terbentuknya sifat - sifat kebinatangan yang melampaui binatang dan haiwan sendiri.


Mendidik adalah satu tugas besar dan langsung setiap al rasul ( Lihat al Jumuah 2 ). Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan kepada kaumnya yang buta huruf. Baginda yang buta huruf membacakan untuk kaumnya ayat - ayat al Quran, mendidik dan menyucikan jiwa dan mengajar mereka memahami al kitab dan al hikmah.


Pendidikan adalah ilmu warisan para anbiya’. Ia penuh hikmah dan penuh rahsia yang merungkai kekusutan di dalam memahami manusia.


Ia adalah warisan yang wajib diwarisi. Dengannya setiap insan menjaga dirinya dan diri ahli keluarganya. Dengannya seorang ketua menjaga anak buahnya dan dengannyalah sebuah negara menjaga rakyatnya. Ia adalah kewajiban. Kewajiban mendidik dan kewajiban mengambil pendidikan itu daripada al rasul.


Mendidik diri hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal mendidik diri jika anda tidak merujuk kepada petunjuk dan ilmu agama. Mendidik anak - anak juga hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal jika anda memandai - mandai mendidik tanpa merujuk kepada panduan agama.
Hari ini, sesetengah kita bukan setakat memandai - mandai mendidik, bahkan tidak pun mendidik diri apatah mendidik anak - anak. Bukankah ini musibah dan dosa?


Mendidik anak - anak adalah kewajiban yang berat. Anak - anak lahir dalam serba tak tahu. Ia jahil tanpa ilmu dan tanpa akal yang sempurna untuk segera berilmu. Ia bertatih mengenal kehidupan sebelum perlu mengorak langkah gagah mengenal kewajiban. Adakah anda menyangka betapa mudahnya manusia mengenal kehidupan, kemudian kewajiban? Lihat berapa ramai manusia yang lemah dan berputus asa. Mereka tidak mengenal kehidupan. Lihatlah pula betapa ramai lagi yang berseronok dalam noda kehidupan. Mereka gagal mengenali kewajiban dan matlamat kehidupan. Justeru haruslah setiap kita menginsafi kelekaan kita di dalam mendidik anak - anak.


Pokok pangkal pendidikan anak - anak adalah menetapkan jiwa mereka dalam keadaan bersih sebersih asal kelahirannya. Sebersih alam fitrah kejadian yang memperakui diri sebagai hamba tuhannya dan tunduk persis tunduknya sang hamba pada tuannya. Menetapkan jiwa dan raga untuk terus kekal putih bersih sebagai seorang muslim semenjak di dalam kandungan ibunya dan saat kelahirannya.


Manusia adalah ruh dari sisi tuhannya. Ia mengenal tuhannya sebagaimana malaikat di langit mengenal tuhannya. Kemudian ia dihantar ke bumi yang jauh, lalu dimasukkan ke dalam satu lembaga dan bekas daripada tanah dan daripada air mani di dalam rahim si ibu. Berlaku pertemuan di antara dua alam yang berbeza. Alam atas yang kudus dan alam bawah yang tandus. Ia terjerat di dalam tubuh daripada tanah duniawi.


Apabila kelahiran berlaku, berlakulah pertembungan secara langsung di antara dua yang berbeza. Ruh meronta - ronta untuk terbang tinggi menuju alamnya yang kudus dan suci menyembah tuhannya, tetapi ia ditarik dan direntap kuat kadang - kadang untuk kekal menggelupur di lumpur duniawi yang kotor dan penuh noda derhaka, enggan dan takabbur. Kelahiran mewajibkan tarbiyah dan pendidikan. Ia proses menyelamat teragung. Ruh mesti diselamatkan daripada noda duniawi yang menghimpitnya. Kesemujadiannya dilitupi alam baru yang serba baru. Anak yang lahir ilmunya bermula dengan kosong. Untuk mula menempuh alam yang baru ini, tubuh yang lemah itu bergantung sepenuhnya kepada kesemulajadiannya yang asal.


Ia secara fitrah mencari makanannya dari tetek ibunya. Ia menangis kuat melarikan diri daripada kedagangan dan kesunyiannya di alam baru ini. Ia diam dan segera nyeyak di dalam dakapan hangat ibunya. Apabila ia celik melihat dunia, ia dibekalkan rasa kasih dan sayang kepada orang yang sentiasa mendodoi dan menjaganya. Ibu dan ayah. Atau penjaganya.
Daripada ibu dan ayahnya ia mula berilmu dan terdidik. Dengan ilmunya itu ia mula mengesot, merangkak, bertatih dan kemudian berjalan. Ia membesar dengan ilmu dan pendidikan awalnya itu.


Bagaimana jika ia mendapat ilmu yang salah? Kemudian pendidikannya juga salah?
Ya, apabila ia salah ilmu dan salah didikannya, ia bertukar daripada kesemulajadiannya. Ruhnya menjadi liar dan sumbang. Ia bertukar wajah kerana ia dijamu makanan yang meracuninya. Makanan ruh seasalnya adalah zikruLlah. Ia melonjakkan nilai keinsanannya. Kini ia dijauhkan daripada zikrullah dan diganti makanan duniawi daripada isi perut yang membuncit, alunan bunyian syaitani, pinar pandangan panahan iblisi dan pelbagai rencam habuan nafsu.


Daripada fitrahnya yang muslim dan mukmin, ia bertukar menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi dan bermacam - macam kefasiqan, kemunafikan dan kederhakaan terhadap tuhannya sendiri.
Inilah nilai pendidikan. Inilah harga sebuah kelekaan dan kecuaian.


Allah melepaskan anak - anak kita yang kecil itu daripada bebanan dan taklif. Ia tiada hak dan kekuatan untuk memikulnya kerana akalnya masih muda remaja untuk mula memikirkan tanggung jawab kehidupannya. Bagaimana manusia boleh dilepaskan di dunia yang serba menipu dan penuh makar ini? Bukankah ia pasti menjerat dan membunuh?


Ya, si anak dilepaskan tetapi Allah mengembalikan hak pengawalannya ke atas pundak kita, ayah dan ibu. Kita diwajibkan membina pagar dan kawalan agar si anak membesar bebas dalam pagarNya ( kalaiLlah ). Ia jinak dalam bebasnya. Ia kembali selepas pergi. Ia enggan bebas daripada tuhannya walau pun ia dibebaskan sebebasnya. Mendidik anak - anak adalah proses menjinakkannya untuk kekal hidup bertuankan tuhannya yang telah menciptakannya dan melepaskannya ke dunia dari langitNya yang kudus.


Anda jangan memarahi saya atau memperlekehkan saya jika saya bermati - matian mengingatkan anda tentang bahaya sistem pendidikan nasional hari ini. anda seharusnya kembali berfikir untuk menilai kembali hukuman anda ke atas saya.


Anda buktikan kepada saya bahawa majoriti anak - anak yang mencecah usia akil baligh ( 15 tahun hijriyah atau 14 tahun lebih masihiyyah ) telah berjaya kekal dalam iman dan ketundukan kepada Allah. Mereka telah bersedia menjadi muslim yang patuh dengan kewajiban solat 5 waktu.


Buktikan! Buktikanlah!! Atau anda akan malu dan tersipu - sipu jika anda memiliki iman, atau wajah anda akan merah padam dengan kemarahan dan kedegilan jika anda seorang yang sombong dan takabbur apabila melihat statistik daripada analisa dan kaji selidik yang sahih daripada pelbagai pihak dan sumber yang beriman yang membuktikan bahawa anak - anak Melayu seusia itu masih kekal tak solat dan tak tahu pun untuk solat dalam peratus tinggi mencecah 80%!!


Dari umur 7 tahun ( umur galakan ugama untuk anak - anak diajar untuk solat ) sehingga umur 10 tahun ( umur galakan ugama agar anak - anak dipukul jika lalai daripada solat ), kemudian memasuki umur 15 tahun ( umur taklif ), anak - anak dibentuk diri dan syakhsiyahnya oleh sistem pendidikan negara. 9 tahun dididik dan mereka keluar tanpa solat!!

Sistem apa ini?
Berat sangatkah solat 5 waktu?
Bodoh sangatkah anak kita?
Degil sangatkah anak kita?
Jahil sangatkah guru kita?
Atau,


Ianya adalah kerana sistemnya yang bersifat jahiliyah?!
Solat pada hari pertama adalah berat, pada hari kedua adalah ringan dan pada hari ketiga adalah manis.


Siapakah di antara kita mahu menghukum bahawa anak - anak kita akan kekal bodoh dan degil sehinggalah umurnya sampai 30 tahun??


Siapakah mahu menghina guru dengan menghukum bahawa anak - anak tak solat adalah kerana guru yang jahil dan malas?


Saya tegaskan bahawa sistem negara adalah sistem sekular yang syirik dan jahiliyah. Sistem pendidikan negara adalah anak yang patuh dan tunduk pada sistem induknya. Justeru ia adalah sistem yang syirik, jahiliyah dan korup. Ia dicipta oleh otak - otak yang sekular, derhaka dan syirik yang berlegar di serambi kuasa negara.


Apabila kami orang yang terlibat dalam dunia politik secra langsung bercakap pasal ahli - ahli Parlimen UMNO dan ahli - ahli mereka di Dewan Negara, kami akan membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Kumpulan yang lekat solat 5 waktunya dan kumpulan yang songlap 5 waktunya. Anda pasti terkejut seperti kami untuk mendapati bahawa natijahnya seumpama natijah kaji selidik ke atas anak - anak 15 tahun tahun di atas!!


Kita menyalahkan kerajaan. Mereka memaksa kita menerima sistem yang buruk dan jahat ini. Tidak semua kita mampu menghantar anak - anak ke sekolah ugama swasta yang tawaran sistemnya lebih Islamik dan benar yang lebih menyelamat dan menjamin agama anak - anak kita.


Kita pasti beruntung dalam keterpaksaan itu jika anak - anak kita memperolehi guru - guru yang benar - benar berperanan menampal segala kebobrokan sistem yang zalim ini dengan usaha gigih mereka. Tetapi itu adalah kewajiban orang lain. Ia langsung tidak mengangkat kewajiban kita sendiri.


Anak - anak adalah amanah dan tanggung jawab. Selepas anak - anak pulang dari sekolah, andalah sekolahnya yang pertama. Jangan anda sekularis sebagaimana sistem sekular negara.
Jika tidak, andalah penyebab sebelum sistem itu! Semoga Allah memelihara kita.
” Tuhanku, jadikanku pendiri solat, juga zuriatku. Tuhan kami, terimalah doa kami.” - al Ayat.

Sunday, April 19, 2009

Muhammad SAW Qudwah kepada pendakwah

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan ketika dunia perlukan kepada pembimbing untuk keselamatan dunia dan akhirat. Kehidupan pada waktu itu tidak ada erti kepada manusia untuk menghirup nikmat dunia. Undang-undang yang ada ialah undang-undang rimba, yang kuat bertambah kuat, yang lemah terus ditindas.

Serigala menjadi pengembala kambing, orang zalim menjadi hakim. Wanita tidak ada nilai dalam hidup. Kehadiran wanita di dunia kononnya membawa sial majal sebab itu perlu dibunuh sejak kecil lagi. Wanita hanya untuk diguna sebagai memuaskan nafsu binatang mereka dan dijadikan sebagai bahan pertaruhan dalam perjudian.

Kesesatan yang melanda setelah berlakunya kekosongan dalam diri manusia setelah Allah SWT mengangkat nabi Isa a.s. maka manusia telah kehilangan arah dan pedoman dalam jarak hampir 600 tahun. Mereka sudah lupa kepada agama tauhid yang diajar oleh Rasul-Rasul yang datang kepada setiap kaum. Sebaliknya mereka telah melakukan amalan syirik yang meletakkan manusia ditempat yang tidak ada harga diri.

Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT yang membawa rahmat kepada seluruh alam . Seperti Firman Allah dalam surah al-Anbia’ 21:107 “Dan kami tidak utuskan engkau wahai Muhammad s.a.w. melainkan untuk membawa rahmat sekalian alam”.

Nabi yang datang misinya untuk menyelamatkan manusia supaya kembali kepada fitrah insan dan mengangkat martabat manusia. Baginda menyedari bahawa bukan merupakan satu perkara yang mudah bagi mengubah struktur kefahaman dalam diri manusia untuk kembali kepada perintah Allah SWT. Agak mudah untuk membina sebuah rumah berbanding dengan hendak membina seorang insan supaya kembali kepada agama tauhid.

Memandangkan baginda adalah insan yang agung telah dianugerahkan kepada baginda keistimewaan yang tidak ada pada makhluk lain. Baginda telah melakukan usaha dakwah berkali-kali kepada kaumnya tanpa jemu-jemu.

Apabila baginda pertama kali menerima wahyu di Gua Hira’ balik bertemu dengan isterinya Khadijah dengan perasaan takut. Untungnya baginda memperolehi seorang isteri yang menjadi pendorong kepada kejayaan baginda. Dengan ucapan yang penuh yakin kepada baginda ” Demi Allah tuhan tidak akan mengecewakan engkau selamanya”

Khadijah membawa baginda berjumpa sepupunya Waraqah bin Naufal seorang tua yang dihormati , luas penyelidikan dan luas pengetahuan. Kata Waraqah ” ini ialah tanda-tanda yang diturunkan kepada nabi-nabi , alangkah baiknya kalau aku ada bersama-sama engkau semasa engkau dihalau oleh kaum kamu kelak”.

Muhammad pun bertanya “Apakah mereka yang akan menghalau aku” Waraqah menjawab Tidak ada seorang pun yang datang sebelum mu membawa seperti yang engkau bawakan ini yang tidak dimusuhi, hendaknya dapatlah aku hidup terus supaya dapat menolong mu” tidak berapa lama Waraqah meninggal dunia.

Dengan itu bermulalah tugas nabi Muhaamd saw sebagai seorang Rasul, suatu tugas yang membataskan zaman jahiliah dan membuka zaman baru bagi bangsa Arab, iaitu zaman cahaya atau zaman Islam.

Apabila turunya surah al-Muddassir 1-7 bermulalah dakwah nabi Muhammad SAW.
Bermaksud
“Wahai orang yang berselimut, Bangunlah lalu berilah peringatan, dan agungkanlah Tuhanmu, dan bersihkanlah pakaianmu, dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji, dan janganlah engkau (Muhammad) memberi dengan maksud memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan kerana Tuhanmu, bersabarlah” 56:1-7.

Baginda mengajak mereka yang rapat dengan baginda seperti kaum keluarga dan sahabat yang paling akrab. Mereka diseru dengan perkara pokok agama Islam tentang adanya tuhan dan meninggalkan pemujaan kepada berhala.

Pada peringkat awal yang menerima seruan isterinya Khadijah binti Khuwailid, Zaid bin Harithah, Abu Bakar al-Siddiq.
Dengan perantaraan Abu Bakar banyak yang memeluk Islam mereka terkenal sebagai al-Sabiqun al-Awwalun (orang yang terdahulu masuk Islam). Mereka ialah Osman Affan, Zubair Ibn Awwam, Saad Abi Waqas, Abdul Rahman Bin Auf, Talhah Ubaidillah, Abu Ubaidah Ibn Jarrah, al-Arqam bin Abil Arqam.

Rumah al-Arqam adalah pusat tarbiah yang awal untuk mendidik di kalangan mereka yang awal-awal memeluk Islam. Pada peringkat awal penyertaan dalam agama Islam adalah dari kalangan golongan mustadafin (orang yang tertindas). Pada peringkat ini seruan secara rahsia berjalan selama 3 tahun.

Apabila turunnya ayat Surah Syua’ara’: 214
“Berilah ingat kepada keluarga mu yang terdekat”
Baginda menyampaikan seruan kepada keluarga yang terdekat. Baginda menyeru Sesungguhnya aku belum mengetahui ada seorang pemuda membawa sesuatu untuk kaumnya yang lebih utama daripada apa yang aku bawa untuk kamu. Aku membawa segala kebaikan dunia dan akhirat untuk kamu”

Sebahagian mereka membenarkan dan sebahagian lagi mendustakan, antaranya Abu Lahab bapa saudaranya yang menyatakan bahawa celaka engkau Muhammad apakah ini tujuan engkau mengumpul kami. Berghubung dengan ini Allah menurunkan surah al-Lahab 111:1-5 “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia!. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang diusahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam neraka api yang bergejolak. Dan isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Dilihirnya ada tali dari sabut yang dipintal.”

Apabila turunnya ayat surah al-Hijr, 15: 94
“Jalankanlah apa yang telah disuruhkan kepadamu dengan tegas dan berpalinglah dari orang musyrik”

Sesudah turun ayat ini, mulailah Rasulullah s.a.w. menyeru segenap lapisan manusia kepada agama Islam dengan terang-terangan, baik golongan bangsawan mahupun lapisan hamba sahaya, begitu juga kaum kerabat baginda atau orang yang jauh. Mulanya baginda seru penduduk Makkah kemudian penduduk negeri lain. Di samping itu juga baginda menyeru orang dari bermacam-macam negeri yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji (amalan haji yang songsang).
Pengajarannya

Islam, agama yang mementingkan nasihat

Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.

Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.