Sunday, April 19, 2009

Islam, agama yang mementingkan nasihat

Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.

Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

No comments: